Thursday, November 11, 2010

APA LANGKAH SETERUSNYA?

Kita perlu kembali membina semula kefahaman Islam yang sohih. Kata Imam AlBanna:

وأن نفهم الإسلام كما كان يفهمه الصحابة والتابعون من السلف الصالح رضوان الله عليهم

"Dan hendaklah kita memahami Islam seperti mana   yang difahami oleh para sahabat dan tabi'een dari kalangan salafussoleh ridhwanullahu 'alyhim". 

Yakni kita mahu supaya pemikiran kita tentang Islam bukan lagi kefahaman yang diwarnai dengan warna-warna jahiliyah oleh musuh-musuh Islam.

Cukuplah 8 dekad pemikiran umat telah dilakarkan dengan kekeliruan demi kekeliruan sehingga generasi Islam abad ini menafsirkan gambaran ajaran Islam dari kaca mata musuh Islam. Generasi yang tidak lagi rasa mulia dan hebat dengan Islam.

Sekiranya kita benar-benar berhajat supaya kita memiliki kefahaman dan pemikiran yang bebas dari belenggu aliran-aliran pemikiran liberal hari ini maka kita tidak ada pilihan lain melainkan kita perlu kembali meneliti sumber rujukan Islam yang mu'tabar iaitu AlQuran, Sunnah Rasulullah saw dan penjelasan oleh ulama'-ulama' mu'tabar.

Wednesday, November 10, 2010

APA KESUDAHANNYA DAN APA SIKAP KITA?

Apabila Islam tidak memerintah sebaliknya Islam diperintah, maka berlakulah dalam jangka waktu yang panjang pemikiran juziyat dan pemencilan atau pemisahan ajaran-ajaran Islam, lalu terhijablah (terdinding/tertutup) dari kefahaman umat tasowwur (konsep) yang sempurna dan jelas tentang Islam. Keadaan ini berterusan sehingga ramai di kalangan mereka yang memandang bahawa Islam sekadar beberapa juzuk dari ajaran Islam yang mereka faham secara dangkal. Sesungguhnya orang yang hanya mempelajari beberapa juzuk dari Islam mereka dikira tidak mempunyai kefahaman yang sohih tentang Islam walau sebanyak mana pun ilmu mereka aspek-aspek juzuk tersebut.


Sesungguhnya seseorang itu akan memiliki tahap kefahaman yang benar terhadap kesempurnaan dan kesyumulan Islam apabila ia melihat kepada kehidupan dan tuntutan-tuntutannya dengan satu pandangan yang menyeluruh. Ini kerana Islam didatangkan sebagai satu manhaj kehidupan atau peraturan hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia, tiada yang terkecuali. Bahkan mati dan kebangkitan selepas mati kita pun juga terkandung dalam ajaran Islam.


Islam adalah satu manhaj yang menyambungkan kehidupan dunia dengan kehidupan Akhirat. Antara intipati aqidah Islam ialah keyakinan tanpa ragu bahawa di sana ada hidup selepas mati, ada hari perhitungan ‘amal (hisab) di Mahsyar, ada balasan syurga dan neraka. Dari riwayat-riwayat yang sampai kepada kita daripada Rasulullah saw, seorang muslim berpandangan bahawa dunia hanyalah persinggahan sementara sekadar mencari bekalan untuk dibawa ke Akhirat. Bak kata Imam AlGhazali dunia laksana ladang untuk kita usahakan supaya kita dapat menuai hasilnya di Akhirat nanti.


Justeru marilah kita tanya dan semak diri kita. Di takuk mana kefahaman kita tentang Islam? Sejauh mana pula ‘amal kita? Sekuat mana iman dan keyakinan kita? Apakah persediaan amal kita untuk mati sudah cukup untuk membebaskan kita dari azab neraka Allah? Tepuk dada tanya iman.

Tuesday, October 19, 2010

FENOMENA GHURBAH

KATA DR HASAN ALI ABU SHA’ISHA’ :


Setelah kejatuhan Khilafah Islam, telah hilang dari umat kuasa pemerintahan dan Al-Quran, maka terungkailah ikatan yang menyatukan umat. Mereka memakai pakaian ghaflah lalu tersebarlah dikalangan mereka kemunkaran yang keji hingga ke tahap mereka berterus terang dan mengiklankannya tanpa segan silu.
Pemimpin-pemimpin mereka tidak lagi melaksanakan apa yang ditanzilkan Allah di dalam KitabNya. Maka Allah jadikan mereka kaum yang pengecut dan bacul, lalu musuh dengan mudah menguasai mereka dan merampas sebahagian dari apa saja harta dan kekayaan milik mereka.
Kemudian dibangkitkan di tengah-tengah mereka pemerintah yang dusta, menteri-menteri yang jahat, penolong dan pembantu yang khianat, cerdik pandai yang zalim, kaum terpelajar yang fasiq, penampilan mereka seolah-olah para rahib (orang soleh) sedangkan hati-hati mereka reput membusuk; hawanafsu mereka bersimpang-siur dan mereka menjadi fitnah kepada awam. 
Mulalah ajaran Islam terongkai gugur satu persatu, yang pertama sekali gugur ialah hukum dan pemerintahan maka syari'ah tidak lagi terlaksana. Manusia muslim berserah kepada pemerintah mereka dan berkata, "Agama untuk Allah dan tanahair untuk semua, biarlah urusan pemerintahan kepada pemerintah, dan urusan agama kepada Allah." 
Berterusanlah slogan ini bertakhta di hati dan pemikiran masyarakat, para ulama' dan sarjana di universiti-universiti umat Islam mendiamkan diri lantas menulis "Kita beramal dalan perkara-perkara agama dan kita biarkan urusan politik/siyasah pemerentahan kepada pemerintah kita."
Maka sebahagian dari mereka berpada dengan usaha mengajak manusia memperebaiki aspek-aspek 'ibadah khususiyah, sebahagian yang lin pula sekadar berkecimpung dengan aktiviti memerangi bid'ah dan khurafat, dan dari kalangan mereka juga ada yang merasa cukup dengan memberi tazkirah kepada manusia tentang hari Akhirat.  
Akibat dari kepincangan ini tersebarlah fahaman sekular yang memisahkan Islam dari urusan kehidupan rakyat. Islam dikurung di sebalik dinding-dinding masjid dalam upacara-upacara ritual sahaja.
      SEKULARISMA IALAH KEFAHAMAN YANG MEMISAHKAN AJARAN ISLAM DARI URUSAN KEHIDUPAN MANUSIA.
ISLAM DIPISAHKAN DARI POLITIK
ISLAM DIPISAHKAN DARI EKONOMI
ISLAM DIPISAHKAN DARI PERUNDANGAN
ISLAM DIPISAHKAN DARI KETENTERAAN
ISLAM DIPISAHKAN DARI KESELAMATAN
ISLAM DIPISAHKAN DARI KEBUDAYAAN
ISLAM DIPISAHKAN DARI PELAJARAN
ISLAM DIPISAHKAN DARI SUKAN
     

Monday, August 2, 2010

ISLAM KEMBALI GHURBAH

Islam telah kembali dagang (terasing) sebagaimana ia telah bermula dalam keadaan dagang.



Tepatlah sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dari Rasulullah SAW:

" حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبَّادٍ وَابْنُ أَبِي عُمَرَ جَمِيعًا عَنْ مَرْوَانَ الْفَزَارِيِّ قَالَ ابْنُ عَبَّادٍ حَدَّثَنَا مَرْوَانُ عَنْ يَزِيدَ يَعْنِي ابْنَ كَيْسَانَ عَنْ أَبِي حَازِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَدَأَ الإِسْلامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاء"

(رواه مسلم، الإيمان/208)
 
MAKSUD HADITH:
 
“Islam telah bermula dalam keadaan dagang (ghurbah) dan ia akan kembali sepertimana mulanya iaitu dalam keadaan dagang maka berbahagialah mereka yang bersama-sama dengan Islam di waktu ianya dagang.”



- Hadith Riwayat Muslim.

Wednesday, July 28, 2010

PERMASALAHAN UMAT

Setelah kejatuhan Daulah Islamiyah dan kehilangan Khilafah Islamiyah, musuh-musuh Islam menakluki negeri-negeri umat Islam dengan berbagai-bagai cara penaklukan yang memusnahkan. Penaklukan ini meliputi aspek-aspek kebudayaan, kepercayaan mulhid, ibahi (pemisif) dan ekonomi.


Musuh mengerumuni umat

Realiti ini telah meletakkan ‘Amal Islami dalam keadaan yang buruk sekali. Umat Islam dikerumuni oleh bangsa-bangsa lain seperti binatang-binatang buas sedang mengerumuni hidangan makanan. Keadaan umat Islam hari ini menepati ramalan Rasulullah saw dalam satu riwayat yang sering kita dengar.

(قال رسول الله (ص
يوشك الأمم أن تداعى عليكم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها
فقال قائل: ومن قِلّةٍ نحن يومئذٍ؟
قال: بل أنتم يومئذٍ كثيرٌ، ولكنكم غثاءٌ كغثاء السيل، ولينزعنَّ اللّه من صدور عدوكم المهابة منكم ، وليقذفنَّ اللّه في قلوبكم الوهن،
فقال قائل: يا رسول اللّه وما الوهن؟
قال: حبُّ الدنيا وكراهية الموت.
Maksudnya : 

Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan hampir seluruh umat manusia menyeru kamu sebagaimana diseru makanan ke bekasnya. 

Maka seorang berkata : Dan adakah disebabkan jumlah kami pada waktu itu menjadi sedikit?. 

Jawab baginda : Bahkan jumlah kamu pada hari itu begitu ramai tetapi kami seperti buih seumpama buih air banjir. Dan akan dicabut daripada sanubari musuh kamu perasaan kagum terhadap kehebatanmu disamping Allah akan mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu. 

Maka seorang berkata : Wahai Rasulullah! Apakah penyakit wahan itu. 

Lalu sabda baginda : Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.

(Hadith riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya)

Tuesday, July 27, 2010

HATI YANG BERIMAN & HATI YANG ASYIK DENGAN DUNIA


HATI YANG BERIMAN SYARAT MENDAPAT HIDAYAH
Allah swt juga berfirman:
ومن يؤمن بالله يهد قلبه (التغابن:11)
 “Dan sesiapa yang beriman dengan Allah, nescaya Allah memberi hidayah kepada hatinya.”
Hati yang yakin dengan Allah, yang dipenuhi dengan  iman kepada Allah, hati yang meng-harapkan Allah dalam semua urusan kecil dan besarnya , nescaya Allah akan memperkuatkan keyakinannya, melimpahkan taufiq dan hidayah serta kefahaman kepadanya. Inilah nikmat & anugerah dari Allah yang tidak dikurniakan melainkan kepada hamba yang benar-benar ikhlas kepada Allah swt.          
HATI YANG ASYIK DENGAN DUNIA TIADA HIDAYAH 
Adapun hati yang jauh dari Allah swt lagi berkarat yang sibuk dan asyik dengan urusan dunianya sehingga dunia menjadi sebesar-besar keutamaannya (أكبر همه) dan kemuncak/matlamat dalam menuntut ilmunya (مبلغ علمه) maka hati ini samasekali tidak akan mendapat hidayah dan kefahaman sekalipun dia mungkin membaca dan mengulangkaji fakta-fakta dan ilmu tentang Islam.
ان الذين لا يؤمنون بآيات الله لا يهديهم الله (النحل: 104)
 “Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman dengan  ayat-ayat Allah, nescaya Allah tidak memberi hidayah kepada mereka.” 

Monday, July 19, 2010

KURNIAAN IMAN TANDA KASIH ALLAH

     Apabila Allah kasih seseorang itu Allah akan jadikan dia suka kepada iman dan Allah hiaskan hatinya dengan iman dan Allah jadikan hatinya benci kepada kekufuran, kefasiqan dan maksiat.
  وَلَكِنَّ اللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ الإيمَانَ وَزَيَّنَهُ فِي قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ الْكُفْرَ وَالْفُسُوقَ وَالْعِصْيَانَ أُولَئِكَ هُمُ الرَّاشِدُونَ (الحجرات:٧)
    “Tetapi Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai dan Allah menghiaskan iman itu dalam hati kamu, dan menjadikan kamu benci kepada kekufuran dan perbuatan fasik serta maksiat; mereka itu adalah kalangan yang mendapat petunjuk.”


      

Wednesday, July 14, 2010

SALAM PERKENALAN


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam pengenalan dari saya kepada para pengunjung yang sudi menjengok blog ringkas yang saya namakan MENCETUS KESEDARAN. Objektif utama blog ini ialah ke arah mencetuskan kesedaran baru Islam.  Kesedaran yang disandarkan kepada kefahaman yang jitu terhadap Islam sebagai AdDeen (الدين) yang diwahyukan Allah kepada junjungan Rasul kita Muhammad s.a.w. Islam yang dimaksudkan di sini ialah Islam yang asli, bersih dari sebarang tokok tambah, bersih dari sebarang pengurangan dan kecuaian. 

KENAPA PERSOALAN KEFAHAMAN DIKETENGAHKAN?

Permasalahan kefahaman adalah pokok bagi permasalahan-permasalahan yang lain. Kerana dengan kefahaman yang jitu seseorang itu dapat membezakan yang haq dari yang batil, yang betul dari yang salah. 

Apabila Allah menganugerahkan kepada seorang hamba kefahaman yang mendalam, kasih sayang yang erat, ‘amal yang berterusan dan kesedaran yang betul sesungguhnya Allah telah mengasihi hamba itu. Ini kerana Allah memberikan dunia kepada siapa yang dia suka dan yang dia tidak suka. Tetapi deen (الدين) hanya diberikan kepada siapa yang Allah suka sahaja.
من يرد الله به خيرا يفقه في الدين   
”Siapa yang Allah berkehendakkan kebaikan buat dirinya, nescaya Allah akan fahamkan dia tentang deen (Islam)”
   فَمَنْ يُرِدِ اللَّهُ أَنْ يَهدِيَهُ يَشْرَحْ صَدْرَهُ لِلإسْلامِ وَمَنْ يُرِدْ أَنْ يُضِلَّهُ يَجْعَلْ صَدْرَهُ ضَيِّقًا حَرَجًا كَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِي السَّمَاءِ (الأنعام:١٢٥)
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya nescaya Ia melapangkan dada-nya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkan-nya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya).

(Bersambung)