Thursday, November 11, 2010

APA LANGKAH SETERUSNYA?

Kita perlu kembali membina semula kefahaman Islam yang sohih. Kata Imam AlBanna:

وأن نفهم الإسلام كما كان يفهمه الصحابة والتابعون من السلف الصالح رضوان الله عليهم

"Dan hendaklah kita memahami Islam seperti mana   yang difahami oleh para sahabat dan tabi'een dari kalangan salafussoleh ridhwanullahu 'alyhim". 

Yakni kita mahu supaya pemikiran kita tentang Islam bukan lagi kefahaman yang diwarnai dengan warna-warna jahiliyah oleh musuh-musuh Islam.

Cukuplah 8 dekad pemikiran umat telah dilakarkan dengan kekeliruan demi kekeliruan sehingga generasi Islam abad ini menafsirkan gambaran ajaran Islam dari kaca mata musuh Islam. Generasi yang tidak lagi rasa mulia dan hebat dengan Islam.

Sekiranya kita benar-benar berhajat supaya kita memiliki kefahaman dan pemikiran yang bebas dari belenggu aliran-aliran pemikiran liberal hari ini maka kita tidak ada pilihan lain melainkan kita perlu kembali meneliti sumber rujukan Islam yang mu'tabar iaitu AlQuran, Sunnah Rasulullah saw dan penjelasan oleh ulama'-ulama' mu'tabar.

Wednesday, November 10, 2010

APA KESUDAHANNYA DAN APA SIKAP KITA?

Apabila Islam tidak memerintah sebaliknya Islam diperintah, maka berlakulah dalam jangka waktu yang panjang pemikiran juziyat dan pemencilan atau pemisahan ajaran-ajaran Islam, lalu terhijablah (terdinding/tertutup) dari kefahaman umat tasowwur (konsep) yang sempurna dan jelas tentang Islam. Keadaan ini berterusan sehingga ramai di kalangan mereka yang memandang bahawa Islam sekadar beberapa juzuk dari ajaran Islam yang mereka faham secara dangkal. Sesungguhnya orang yang hanya mempelajari beberapa juzuk dari Islam mereka dikira tidak mempunyai kefahaman yang sohih tentang Islam walau sebanyak mana pun ilmu mereka aspek-aspek juzuk tersebut.


Sesungguhnya seseorang itu akan memiliki tahap kefahaman yang benar terhadap kesempurnaan dan kesyumulan Islam apabila ia melihat kepada kehidupan dan tuntutan-tuntutannya dengan satu pandangan yang menyeluruh. Ini kerana Islam didatangkan sebagai satu manhaj kehidupan atau peraturan hidup yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia, tiada yang terkecuali. Bahkan mati dan kebangkitan selepas mati kita pun juga terkandung dalam ajaran Islam.


Islam adalah satu manhaj yang menyambungkan kehidupan dunia dengan kehidupan Akhirat. Antara intipati aqidah Islam ialah keyakinan tanpa ragu bahawa di sana ada hidup selepas mati, ada hari perhitungan ‘amal (hisab) di Mahsyar, ada balasan syurga dan neraka. Dari riwayat-riwayat yang sampai kepada kita daripada Rasulullah saw, seorang muslim berpandangan bahawa dunia hanyalah persinggahan sementara sekadar mencari bekalan untuk dibawa ke Akhirat. Bak kata Imam AlGhazali dunia laksana ladang untuk kita usahakan supaya kita dapat menuai hasilnya di Akhirat nanti.


Justeru marilah kita tanya dan semak diri kita. Di takuk mana kefahaman kita tentang Islam? Sejauh mana pula ‘amal kita? Sekuat mana iman dan keyakinan kita? Apakah persediaan amal kita untuk mati sudah cukup untuk membebaskan kita dari azab neraka Allah? Tepuk dada tanya iman.